Content feed Comments Feed

Perutusan Sempena Sambutan Hari Koperasi Sekolah 2009

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada koperasi sekolah di atas usaha gigih menjayakan sambutan perayaan Hari Koperasi Sekolah (HKS) 2009. Ini merupakan tahun keempat Hari Koperasi Sekolah disambut di peringkat sekolah dan saya percaya setiap koperasi sekolah sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan bagi memastikan sambutan ini memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah.

Kementerian Pelajaran sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada sekolah untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA). Ini memandangkan aktiviti koperasi sememangnya diiktiraf sebagai salah satu aktiviti kokurikulum yang terpenting di sekolah, setaraf dengan kegiatan-kegiatan kokurikulum yang lain. Lebih penting lagi, ianya mampu membantu usaha berterusan Kementerian Pelajaran dalam membangunkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi intelek, emosi dan jasmani. Saya yakin program pendidikan yang dirancang melalui aktiviti koperasi akan mampu melahirkan pelajar-pelajar yang berkebolehan tinggi, dinamik serta berdaya saing, selaras dengan tuntutan ekonomi global masa kini.

Hari Koperasi Sekolah merupakan wadah terbaik dalam menyemai budaya koperasi dan keusahawanan di kalangan para pelajar, kerana pelajar merupakan pewaris kepimpinan koperasi dan juga bakal usahawan negara masa depan. Para pelajar seharusnya merebut peluang-peluang yang ada melalui aktiviti koperasi untuk membangun dan memperkembangkan potensi diri. Pelajar-pelajar juga perlu sentiasa berfikiran positif dan memahami bahawa penglibatan di dalam kegiatan bilik darjah seperti koperasi sekolah ini tidak akan menjejaskan proses pembelajaran, malah ianya merupakan pelengkap kepada proses pembelajaran di bilik darjah.

Dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan usahawan yang berwawasan, pelajar-pelajar ahli koperasi perlu berpandangan jauh sejajar dengan perubahan ekonomi dunia. Hanya dengan cara ini saja, kesinambungan dapat diwujudkan oleh barisan pelapis dalam memastikan gerakan koperasi dapat menyaingi sektor-sektor lain pada masa akan datang.

Tahnia sekali lagi diucapkan kepada semua warga sekolah yang berusaha gigih bagi memastikan perayaan Hari Koperasi Sekolah 2009 dapat disambut dengan jayanya.
Terima kasih.

TAN SRI MUHYIDDIN HAJI MOHD YASSIN