Content feed Comments Feed

PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN
HARI KOPERASI SEKOLAH 2009
YDP ANGKASA

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

ANGKASA ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga sekolah yang
menyambut Hari Koperasi Sekolah (HKS) 2009 pada tahun ini. HKS diadakan bertujuan untuk mewarwarkan tentang peranan koperasi sekolah kepada semua warga sekolah di samping mewujudkan kerjasama yang menyeluruh di antara guru, pelajar, kakitangan, PIBG dan masyarakat setempat.

Pada tahun ini, HKS disambut di peringkat sekolah di seluruh negara pada 21 hingga 27 Jun 2009 bertemakan ”Integrasi Koperasi Sekolah dan Koperasi Dewasa Teras Kecemerlangan”. ANGKASA sentiasa memastikan setiap Koperasi Sekolah yang melaksanakan HKS mendapat manafaat sepenuhnya daripada aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan. Aktiviti wajib yang dilaksanakan mempunyai unsur-unsur untuk mewarwarkan kewujudan Koperasi Sekolah kepada masyarakat setempat disamping memenuhi prinsip-prinsip dan nilai-nilai koperasi. Setiap warga sekolah perlu memberi perhatian sebaiknya kepada aktiviti wajib yang dilaksanakan seperti perhimpunan yang mengandungi pembacaan perutusan, nyanyian lagu koperasi,penanaman pokok dan penglibatan Koperasi Dewasa.

Manakala aktiviti pilihan seperti aktiviti Pendidikan, Ekonomi dan Sosial dilihat sebagai usaha memberi ruang dan peluang kepada anggota koperasi untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti tersebut. Koperator Muda (Pelajar) boleh memainkan peranan aktif dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan dengan bimbingan dari guru-guru yang terlibat. Mereka juga perlu didedahkan dengan Koperasi Dewasa supaya
Koperator Muda faham tentang peranan dan tanggungjawab Koperasi Dewasa dalam gerakan koperasi negara. Ini bersesuaian dengan tema HKS 2009 yang menekankan tentang penglibatan Koperasi Dewasa dalam aktiviti yang dilaksanakan.

Pelbagai usaha seperti kursus, seminar dan program-program yang dilaksanakan oleh ANGKASA kepada Koperasi Sekolah dan Koperasi Dewasa merupakan usaha berterusan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan penerapan nilai-nilai koperasi. Sehubungan itu HKS yang diadakan di peringkat sekolah setiap tahun dilihat sebagai usaha terbaik untuk mengeratkan hubungan di antara keduadua komponen koperasi ini.

Diharapkan dengan adanya HKS, koperasi sekolah boleh melaksanakan program atau aktiviti bersama koperasi dewasa yang memberi manafaat kepada warga sekolah. Selamat
Menyambut Hari Koperasi Sekolah 2009.

DATO’ HJ. ABDUL RAHIM ABU BAKAR
Yang Dipertua ANGKASA